Kehidupan awal DJ_Fuzz

DJ Fuzz dilahirkan pada 13 Julai 1977 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan merupakan anak sulung daripada empat beradik.[3] Ibu bapanya, Farit Ismeth Emir merupakan ahli perniagaan dan juga penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Noor Ashikin Othman, seorang pensyarah universiti dan pakar pemakanan. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Gurney 2, Kuala Lumpur dan kemudiannya mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria.[3] Ketika di sekolah rendah, beliau kerap mendapat nombor satu dalam peperiksaan. Selain itu, beliau juga aktif dalam menyertai sukan taekwondo dan pernah mewakili sekolah hingga ke luar negara.[3]

DJ Fuzz juga pernah menganggotai kugiran pancaragam sekolah, dan bermain bagpipe dan tidak pernah gagal hadir dalam sesi latihan apatah lagi pasukan pancaragam sekolahnya kerap dijemput untuk acara perbarisan seperti di Dataran Merdeka.[3] Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1994, beliau bekerja sebagai penyambut tetamu hotel dan pelayan restoran. DJ Fuzz kemudiannya melanjutkan pelajarannya dalam bidang perakaunan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).[3]